Tuesday, November 15, 2011

Sesungguhnya Aku Sedang Ditarbiyyah...



Tarbiyyah Hati:
Ya Allah, sesungguhnya bukan mudah untukku menerima hakikat akan semua yang terjadi. Apatah lagi orang-orang yang berada disekelilingku. Hati ini amat payah untuk menerima tarbiyyah yang Kau beri. Disaat orang lain dalam gelak dan tawa, aku diselubungi duka & sengsara.
Ya Allah… saat ini aku merasakan gundah, resah, dan tidak keruan. Hatiku tidak tenteram dengan segala musibah yang datang. Dan aku tiada tempat bergantung selain daripadaMu ya Allah. Setiap kerosakan yang berlaku tak mampu untukku baiki, setiap masalah yang datang tak mampu untukku tentang. Setiap kesakitan yangku alami tak mampu untukku rawat. Apalah dayaku tanpaMu disisi…
Ya Allah, apakah aku insan yang Kau pilih untuk berada diatas jalanMu ini Ya Allah??? Jika benar, maka bersyukurlah aku. Aku terima segala sengsara yang Kau hadiahkan padaku Ya Allah dan aku redha. Dan sekiranya sengsara ini adalah balasan daripada dosa dan noda yang pernah aku lakukan padaMu dulu, Ya Allah, aku tetap menerimanya. Malah aku amat bersyukur kerana atas rahmat dan kasih sayangMu, aku mendapat tarbiyyah secara langsung dariMu. Alhamdulillah…
Ya Allah, dalam aku mengharungi kepayahan ini, Kau pinjamkanlah padaku sedikit kekuatan agar dapat aku bertahan demi jihadku melawan nafsu dan godaan syaitan. Dan Kau pimpinlah aku supaya senantiasa berada pada jalanMu ya Allah. Sesungguhnya, telahku pasrahkan seluruh hatiku padaMu kerana,
Hatiku MilikMu…

Tarbiyyah Akal:
Ya Allah, demi hati yang sedang diuji, Kau kurniakanlah kecerdikan akal dan fikiran kepadaku. Kau didiklah akalku ini agar dapat membuahkan fikiran yang bernas untukku mengatasi permasalahan yang timbul. Kau kuatkanlah akal fikiranku agar dapat aku berfikir dengan kewarasan bukan dengan perasaan.
Ya Allah, tunjukilah aku jalan yang lurus, jalan yang benar iaitu jalan yang kau redhai. Jangan biarkan aku sendirian dalam kesesatan ya Allah. Berilah daku petunjuk dan hidayahMu
Ya Allah, Kau ilhamkanlah padaku cara bagaimana harus aku lakukan untukku selesaikan kekalutan ini. Pertemukan aku dengan jawapanMu…

Tarbiyyah Jasad:
Ya Allah… Sesungguhnya aku kini sedang diuji. Maka Kau berikanlah kekuatan pada tubuh badankui ini, ya Allah… agar aku tak mudah kalah dalam pertempuran ini. Agar aku tak mudah rebah dalam peperangan ini, agar aku tak mudah kalah dalam perjuangan ini. Jadikanlah aku senantiasa tabah mengharungi kehidupan ini. Berikanlah aku kifarah di atas segala kesakitan dan kesengsaraan dalam aku melalui liku-liku hidup ini, mengharungi onak dan duri menempuh kepayahan demi menegakkan syiar-Mu ini, kerana aku seorang mujahidah yang sedang bermujahadah.

No comments:

Post a Comment